Tuesday, March 8, 2011

KADAR INFLASI DI MALAYSIA MEMBIMBANGKAN

Written by SITI RIZADIANA RAHMAT   
Monday, 14 February 2011 10:11 

Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Ini sekali gus merekodkan kadar inflasi tahunan kepada 1.8 peratus untuk 2010. Kenaikan kadar inflasi itu berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

 

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus.

Berdasarkan laporan Financial Times, kajian yang dijalankan oleh Northern Light mendapati 62 peratus pelabur menjangkakan inflasi akan meningkat secara global. Awal minggu ini data yang dikeluarkan di Britain menunjukkan Indeks Harga Pengguna di United Kingdom mencecah 3.7 peratus pada Januari 2011. Ini menguatkan spekulasi bahawa inflasi sedang meningkat.
Inflasi dikatakan bakal mencecah kadar empat peratus dalam beberapa bulan akan datang. Kini penganalisa mempersoalkan sama ada Bank of England sudah kehilangan kredibiliti. Pakar ekonomi percaya Indeks Harga Pengguna akan meningkat sekitar 3.4 peratus pada Disember dengan petrol, makanan dan bil utiliti memberikan tekanan paling kuat terhadap inflasi.

Baru-baru ini Bank Dunia mengingatkan Indonesia mengenai kadar inflasinya yang tinggi supaya kerajaan melakukan sesuatu sebelum ia memberi kesan negatif ke atas ekonomi apabila kadar faedah dan pengangguran meningkat. Agensi berita Antara dalam laporan terkininya berkata terdapat ramalan bahawa kadar inflasi republik berkenaan boleh mencapai tujuh peratus pada akhir tahun ini. Indonesia yang mendakwa kadar inflasinya masih pada tahap yang boleh ditangani, walau bagaimanapun meminta Bank Dunia menyokong polisi fiskal yang dilaksanakannya.


Reuters pula melaporkan syarikat-syarikat di China dan India, yang selama ini menikmati ekonomi yang kukuh, turut bimbang menghadapi risiko inflasi. Inflasi dan peningkatan gelembung aset syarikat-syarikat utama menjadi kebimbangan gergasi ekonomi Asia dan ekonomi yang ketiga dunia, kata pakar yang ditemui pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland baru-baru ini. Pengerusi syarikat pembuat tayar India, Apollo Tyres, Onkar Kanwar berkata, harga minyak dan getah asli melonjak seumpama emas sekarang.


Lagi artikel penuh sila layari : konsumerkini.net

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...